Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri.
Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melelahkan dan
menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai
yang indah.
Semua orang pasti mahukan sahabat sejati, namun tidak semua orang
berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya
persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati
sahabatnya.
Sahabat Sejati
Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya:''Wahai anakku, sekiranya
engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah
engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
- Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, da akan membalas balik persahabatan kamu.
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan(bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannnya.
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
- Jika kamu berdua berselisihan faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saidina Ali pernah berkata "selemah-lemah
manusia ialah manusia yang gagal mencari sahabat dan manusia yang lebih
lemah dari itu ialah manusia yang telah mensia-siakan sahabat yang
telah dicari"
