Saturday, August 11, 2012

Allah Maha Mengetahui

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Saturday, August 4, 2012

Lima rahsia nikmat puasa

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, kita sudah bertemu dengan bulan ramadhan yang mulia ini. Sesungguhnya Allah SWT memanjangkan usia kita sehingga hari ini bagi beribadah kepada-Nya. Oleh itu, rebutlah peluang ini melakukan ibadah kerana semua ibadah akan dilipat gandakan Allah SWT.

Ramadhan sebagai bulan yang pada awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka. Antara kelebihan Ramadhan ialah malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan nikmat dalam ibadat ini.

1. Manusia akan berjaya menguasai hawa nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat.
2. Mendidik seseorang mempunyai keinginan kepada kebaikan.
3. Memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani(tubuh dan anggota badan)
4. Dapat berasa syukur atas nikmat yang diberikan Allah terhadap kita.
5. Memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain.





Sebaik-baiknya biarlah bulan puasa kali ini disambut dengan lembaran baru yang bersih. Dan, akhirnya biarlah ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan tahun lepas. Dan keluarlah dari bulan ramadhan dengan menjadi orang yang lebih kuat imannya. InsyaAllah.

Thursday, July 19, 2012

Sahabat Sejati

Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri.
Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah.

Semua orang pasti mahukan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya.

Sahabat Sejati
Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya:''Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
  2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
  3. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
  4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, da akan membalas balik persahabatan kamu.
  5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
  6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
  7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan(bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
  8. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannnya.
  9. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
  10. Jika kamu berdua berselisihan faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  11. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
  12. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
  13. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
  14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saidina Ali pernah berkata "selemah-lemah manusia ialah manusia yang gagal mencari sahabat dan manusia yang lebih lemah dari itu ialah manusia yang telah mensia-siakan sahabat yang telah dicari"

Sunday, June 17, 2012

Peristiwa Israk dan Mikraj

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.


Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
 07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Credit :iluvislam

 

Monday, May 28, 2012

Masih adakah cinta buatku ?


Masih adakah cinta buatku ?

Bunyi ketukan di pintu kedengaran bertalu talu. Kaisara tidak mengendahkan bunyi itu sebaliknya memandang  telefon bimbitnya dengan sayu. Message yang diterimanya tadi di buka  kembali.

Kita perlu berpisah, setakat ini saja hubungan kita. Aku sudah menjumpai perempuan yang lebih cantik dari kau dan boleh memberi segala galanya lebih dari kau. Jangan cuba hubungi aku lagi. I don’t need u anymore ! Bye :P”

Sakit sungguh hatinya, lelaki itu adalah lelaki yang kesembilan pernah menjalinkan hubungan dengannya.  Kenapa semuanya curang ? Dia sudah cukup setia disisi mereka tetapi mereka memulangkan paku kepadanya malah hanya mahukan duitnya.

Ya benar, Kaisara adalah anak Tan sri Hamdan, pengusaha minyak yang amat terkenal di situ. Selama ini setiap insan yang menghampirinya hanya untuk kemewahan yang ada padanya. Walaupun dia seorang yang amat bersosial tetapi maruahnya tetap perlu di jaga bukan untuk di ragut dengan mudah.

Kaisara bingkas bangun membuka pintu bilik kerana tidak tahan dengan bunyi bising di luar. Kelihatan mama dan papanya sedang bertikam lidah. Air mata Kaisara mengalir laju, sampai bila keadaan ini akan berterusan? Melihat ibu dan ayahnya bergaduh bagaikan hobi untuknya kerana hampir setiap hari mereka bergaduh. Hidup Kaisara mewah tetapi keluarga mereka tidak kaya dengan kasih sayang.

Kaisara berlari keluar tanpa mempedulikan ibu dan ayahnya. Dia harus pergi dari situ, tempat yang bagaikan neraka buatnya. Untuk apa tinggal di tempat mewah sedangkan hidup tidak bahagia ?
Setelah menahan sebuah teksi, Kaisara meminta untuk ke bandar. Sampainya di sana dia berjalan tanpa arah tuju. Hatinya sakit, hatinya penuh dengan luka, kepalanya kusut dengan berbagai persoalan. Tiba-tiba..Allahuakbar…Allahuakbar..azan berkumandang dengan syahdunya.

Langkah Kaisara terhenti, jiwanya yang tadi kusut kembali tenang. Dia melangkah ke masjid berdekatan. Kemudian dia duduk berteleku di suatu sudut bahagian perempuan dalam masjid itu. Kaisara dapat merasakan dirinya amat tenang apabila berada di situ. Dia memejamkan mata sambil menghayati nyanyian azan sehinggalah bahunya di cuit lembut.

“Kaisara, awak buat apa kat sini ?” Kaseh, rakan sekolahnya bertanya. Kaisara hanya merenung Kaseh yang berada di depannya. Dia tidak rapat dengan Kaseh walaupun mereka satu tingkatan kerana Kaseh antara pelajar yang mengambil kelas aliran agama dan bertudung labuh. Tanpa berfikir panjang Kaisara berkata, “saya nak solat tapi saya tak tahu dan saya tak ada telekung.” Entah mengapa soalan itu yang keluar dari mulutnya.

Kaseh tersenyum kemudian dia berkata, “marilah, awak solat ikut imam dulu kat sini nanti saya ajar awak. Telekung dah disediakan.” Kaisara pantas mengangguk lalu mengukirkan senyuman.
Kaseh mengambil keputusan untuk mengajak Kaisara pulang ke rumahnya setelah mendengar cerita Kaisara. Tambahan pula, Kaisara tetap berkeras tidak mahu pulang ke rumahnya walaupun di pujuk dengan baik oleh Kaseh dan hari juga makin malam.

Kini, Kaisara dapat merasakan  Kaseh adalah manusia yang mulia. Kaseh menerangkan tentang apa sebenarnya Islam. Ya, Islam is the way of life. Kaseh mengajarnya cara-cara untuk solat dan banyak lagi perkara asas dalam Islam. Kaisara seperti budak sekolah rendah yang bertanyakan soalan soalan yang bodoh tetapi dia tidak kisah kerana dia betul betul ingin tahu.

“Kaisara tahu, kita bukan saja perlu bercinta dengan manusia malahan kita juga wajib mencintai Allah yang maha Esa supaya dia juga akan mencintai kita dan memelihara kita.” Kata kata Kaseh membuatkan Kaisara tersentak. Mustahil manusia boleh bercinta dengan penciptaNya yang agung itu.

“Bagaimana nak mencintainya Kaseh?”

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku” (Az Zariyat:56)

“Tunjukkan rasa cintamu dengan beribadat kepadaNya dan jauhi larangannya.  Cinta yang perlu kita cari adalah cinta yang hakiki iaitu cintaNya bukan cinta manusia yang berlandaskan nafsu semata mata. InsyaAllah, Allah akan membalas cinta kita dengan kemanisan iman.”

“Tapi…Kaisara banyak melakukan dosa, saya tak pernah solat, saya tak tutup aurat dan lain lain lagi. Masih adakah cinta Allah buat Kaisara ?” Kaisara bertanya dengan nada yang amat sayu sehingga air matanya jatuh. Kini, dia betul betul tekad untuk berubah. Dia sedih jika dia sudah tidak dapat di terima Allah.

Kaseh terkedu. Dia tidak menyangka gadis yang berada di depan matanya menangis kerana mengharapkan cintaNya. Ya Allah, kau ampunilah hambamu Kaisara dan kau titipkan cintamu buat dirinya..aminn..

“Kaisara, Allah maha Pengasih lagi maha Penyayang. Sekiranya kita betul betul ikhlas ingin bertaubat Allah pasti akan menerima.”

Kaisara mengangguk angguk. Dia akan cuba untuk menagih cinta kepada Allah. Dia ingin merasai sendiri cinta hakiki itu, adakah cinta itu juga akan berakhir dengan penyesalan? Tidak, dia yakin dengan Allah.

Kaseh bangun untuk menyediakan air untuk Kaisara minum. Kaisara melihat sekeliling bilik Kaseh. Kelihatan rak yang dipenuhi dengan buku buku ilmiah di hujung sudut. Meja belajarnya nampak kemas sekali tiba tiba mata Kaisara terhenti pada sebuah buku. ‘Syariah Islamiah tingkatan 4’. Dia menyelak nyelak halaman buku teks itu sehingga tangannya terhenti kerana membaca sesuatu yang amat menarik perhatiannya. Cara-cara mendapatkan halawatul iman(kemanisan iman). ‘Inilah yang di katakan Kaseh tadi, kemanisan iman,’gumam Kaisara.
1
.      Cinta kepada Allah dan rasulnya lebih daripada cinta kepada orang lain
2.       Mengasihi sahabatnya semata mata kerana Allah
3.       Membenci untuk kembali kepada kekufuran
4.       Sabar menghadapi ujian dan cabaran
5.       Istiqamah dalam mengerjakan ibadah
6.       Memperbanyakkan amalan amalan sunat

Kini Kaisara yakin, dia betul betul ingin merasai manisnya iman. Dia tekad untuk mengubah hidupnya tetapi dia juga risau bagaimana penerimaan mama dan papanya ?

“Ya Allah, ya tuhanku, kau tetapkanlah aku di atas landasanmu, kau peliharalah aku dari sebarang kemaksiatan yang boleh mengundang murkamu.  Kau tetapkanlah cintaku pada cintamu…Ya rabbana, kau lembutkan hati mama dan papa agar mereka juga ingin mencintaimu..amin ya rabbal a’lamin…” Kaisara mengaminkan doanya pagi itu dengan hati yang tenang.

“Kaisara, mama awak telefon.” Kaseh menghulurkan telefon bimbitnya kepada Kaisara.

Kaisara bingkas membuka telekungnya. Dia tertanya tanya bagaimana mamanya mengetahui bahawa dia berada di situ.

“Hello mama ?”

“Sayang, kenapa kamu keluar tak beritahu. Telefon bimbit pun kamu tinggal, nasib baiklah Kaseh menelefon mama tadi.” Kaisara merenung Kaseh yang tersengih.

“Kaisara, kejap lagi mama mahu menjemput kamu. Semalam selepas bertengkar, papa terkena serangan jantung. Dia terkejut kamu hilang dan sekarang papa di hospital.” Suara mama kedengaran sedih. Ya Allah, papa !

Papa membuka matanya, syukur ya Allah, papa masih di beri nikmat kehidupan.Kaisara mengukirkan senyuman yang manis buat papa dan papa juga membalas lalu memeluknya.

“Sayang, papa janji tak akan bergaduh lagi dengan mama. So, jangan tinggalkan papa lagi.” Kaisara terkejut mendengar suara Tan Sri Hamdan yang lembut itu. Kaisara menoleh pada mamanya Datin Kirana yang juga sedang senyum.

“Sayang tahu, papa mimpi Sara datang dengan jubah putih dan menyambut papa yang sedang lemas dalam sungai. Papa lihat Sara sungguh cantik ketika itu dan Sara cakap pada papa, Allah sentiasa ada untuk kita cuma kita yang tidak menyedarinya. Papa tahu keluarga kita dah jaug terpesog daripada ajaran agama yang sebenar. Papa nak kita satu keluarga solat jemaah selepas ini. Kita sama sama belajar solat ya.”              

Air mata Kaisara mengalir lembut di pipinya. Ya Allah, kau perkenankan doaku. Syukur Alhamdulillah. Sungguh aku amat mencintaimu wahai tuhanku !

“Baiklah papa, Sara juga amat merindui suasana seperti itu. Sara nak papa jadi imam untuk setiap solat Sara dan ada untuk solatkan jenazah Sara.” Entah kenapa itu yang terluncur dari bibirnya. Tan Sri Hamdan hanya ketawa kelucuan mungkin kerana kata kata Kaisara yang di fikirnya kelakar.

“Papa, izinkan Sara keluar makan dengan Kaseh. Sara betul betul lapar.” Tan Sri Hamdan mengangguk tanda membenarkan.

Kaisara berjalan sambil berpimpinan tangan dengan Kaseh menuju ke kedai mamak di depan hospital. Kaisara yang hendak makan di situ kerana katanya nasi goreng patayya mamak itu sedap.

“Kaseh tahu, Sara sayang Kaseh kerana Allah. Terima kasih kerana membawa Kaisara kembali ke jalanNya.” Kaseh terkedu mendengar kata kata Kaisara yang sungguh ikhlas di perdengarannya. Kaisara melepaskan tangan Kaseh yang masih terkedu lalu dia melintas jalan. Malangnya, Kaisara tidak sempat mengelak daripada lori yang bergerak laju. Akhirnya, Kaisara terlentang di hujung jalan dengan darah yang berlumuran. Kaseh yang melihat kejadian yang berlaku di depan matanya segera berlari mendapatkan Kaisara. Orang ramai mula menggerumuni tempat itu.

Kaseh memangku kepala Kaisara sambil menangis teresak esak. Tangan Kaisara terketar ketar mengelap air mata Kaseh. Darah di tangannya terlekat sedikit di pipi Kaseh. Kaisara senyum seterusnya mengucapkan kata kata terakhir, “ Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Al-Mulk:1). Beritahu mama dan papa Sara sayang mereka tetapi Allah tetap mendahului di hati Sara.”  Kaisara meninggalkan dunia di atas pangkuan Kaseh dengan mengucapkan dua kalimah syahadah. Perginya seorang insan menemui kekasihnya yang amat di cintai..

“Ya Allah! Jadikanlah hari ini kepada kami lebih baik daripada semalam dan jadikanlah hari esok untuk kami lebih baik daripada hari ini…! Amin ya rabbal alamin.


Saturday, May 26, 2012

Sekadar Peringatan ..

Setiap kejadian yang berlaku adalah kehendak Allah. Kita sebagai hambanya mestilah menempuhinya dengan sabar dan dengan penuh keimanan. Kita sebagai manusia tidak lari dari melalui pelbagai ujian yang disediakan Allah untuk menguji keimanan kita. Oleh itu, kita mestilah bersedia dengan kekuatan jiwa dan keimanan yang teguh yang mana kita boleh perolehi daripada melakukan ibadah kepadaNya dengan ikhlas.

Tetapkan amar ma'ruf nahi munkar dalam diri. InsyaAllah kita akan di jauhi daripada perkara yang buruk sehingga mengundang kemurkaan Allah kepada kita. Jadilah mukmin sejati yang sentiasa mendambakan cintaNya bukan cinta nafsu semata mata. Mudah mudahan kita sentiasa ditempatkan di kalangan orang orang yang soleh dan bersyukur.