Saturday, August 11, 2012

Allah Maha Mengetahui

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Saturday, August 4, 2012

Lima rahsia nikmat puasa

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, kita sudah bertemu dengan bulan ramadhan yang mulia ini. Sesungguhnya Allah SWT memanjangkan usia kita sehingga hari ini bagi beribadah kepada-Nya. Oleh itu, rebutlah peluang ini melakukan ibadah kerana semua ibadah akan dilipat gandakan Allah SWT.

Ramadhan sebagai bulan yang pada awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka. Antara kelebihan Ramadhan ialah malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan nikmat dalam ibadat ini.

1. Manusia akan berjaya menguasai hawa nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat.
2. Mendidik seseorang mempunyai keinginan kepada kebaikan.
3. Memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani(tubuh dan anggota badan)
4. Dapat berasa syukur atas nikmat yang diberikan Allah terhadap kita.
5. Memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain.





Sebaik-baiknya biarlah bulan puasa kali ini disambut dengan lembaran baru yang bersih. Dan, akhirnya biarlah ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan tahun lepas. Dan keluarlah dari bulan ramadhan dengan menjadi orang yang lebih kuat imannya. InsyaAllah.

Thursday, July 19, 2012

Sahabat Sejati

Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri.
Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah.

Semua orang pasti mahukan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya.

Sahabat Sejati
Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya:''Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
  2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
  3. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
  4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, da akan membalas balik persahabatan kamu.
  5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
  6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
  7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan(bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
  8. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannnya.
  9. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
  10. Jika kamu berdua berselisihan faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  11. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
  12. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
  13. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
  14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saidina Ali pernah berkata "selemah-lemah manusia ialah manusia yang gagal mencari sahabat dan manusia yang lebih lemah dari itu ialah manusia yang telah mensia-siakan sahabat yang telah dicari"